Saya ‘dilahirkan’ sebagai
seorang pemalu. Jarang berbual dengan orang yang tidak dikenali, sukar memulakan perbualan dan sentiasa mengelak dari menampilkan diri di khalayak
ramai. Tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Ia sungguh
misteri.
Puluhan tahun saya berhadapan dengan situasi ini sehinggalah saya
menyedari misteri yang terselindung disebalik perasaan malu itu.
Percayakah anda jika saya katakan bahawa perasaan malu itu adalah hanya kerana penafsiran kita terhadap sesuatu
sahaja.
Contohnya jika seseorang memandang anda ketika anda berada di khalayak
ramai, apakah yang anda tafsirkan terhadap orang itu? Adakah anda tafsirkan ia
meminati anda, mengagumi anda, mempersendakan anda, atau memandang sinis kepada anda?
Apa jua yang anda tafsirkan terhadap
pemikiran orang itu terhadap anda akan mempengaruhi keadaan diri dan situasi
anda.
Jika anda menafsirkan ia meminati anda
sudah pasti anda ingin supaya kelihatan cool,
sopan, atau sesuai dengan apa yang ia fikirkan terhadap anda. Anda akan
berkelakuan supaya menepati tanggapan orang itu terhadap anda.
Ketika anda berada di hadapan khalayak
ramai dan banyak mata memandang anda ketika anda bercakap, apakah yang anda
rasa? Pasti berbagai penafsiran timbul seperti; ‘aku tak berucap dengan baik',
‘mungkin pakaian aku tidak menepati majlis’, ‘mereka mengata-ngata sesuatu yang
buruk tentang aku’!
Pasti itulah yang anda rasa bukan? Tetapi
benarkah tanggapan anda itu? Jika anda dapat menjelaskan perasaan anda ketika
situasi tersebut pasti anda akan mendapati bahawa ia adalah kurang rasional dan
tidak logik. Tetapi ia berlaku terlalu pantas sehingga anda sukar untuk menangkap apa yang anda rasa ketika itu.
Jika anda merasa benar tanggapan anda itu, saya ingin bertanya dari manakah anda
yakin ia benar? Anda cuba membaca fikiran (mind reading)
seseorang
dan kerana itu anda cuba
berkelakuan sesuai dengan jangkaan orang tersebut.
Dari manakah anda mengetahui ketika
seseorang melihat anda, ia meminati anda? Adakah anda bertanya kepadanya? Sudah
tentu tidak bukan? Itulah yang berlaku dan anda menganggapnya seolah-olah amat
benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi
Oleh itu berhati-hatilah dalam menafsirkan
sesuatu. Jangan terlalu cepat menafsirkan apa yang seseorang fikirkan terhadap
anda.
Ingatlah bahawa perspektif pertama anda
akan mempengaruhi fikiran anda keseluruhan. Jika anda merasa bahawa orang yang
memandang anda meminati atau mengagumi atau mempersendakan anda segeralah
bertanyakan kepada diri anda; ‘dari mana aku tahu?’ atau ‘betulkah ia fikirkan
demikian terhadap aku?’ atau ‘mungkin ia langsung tidak memikirkan apa-apa
terhadap aku tetapi hanya memandang aku saja’!
Ingatlah, semakin anda menafsirkan fikiran
orang terhadap anda, maka semakin tidak menentulah perasaan anda dan
menyebabkan anda menjadi malu, gelabah, panik, cemas, tidak selesa, control macho, bajet lawa, cemas,
bimbang dan berbagai lagi keadaan yang tidak memberdayakan (disempower)!


















